BERITA UTAMASELANGOR

Kempen Selangor Gempur Aedes bakal dilancar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JAN: Berikutan jumlah kes wabak denggi yang tinggi di Selangor, Kerajaan Negeri bakal melaksanakan ‘Kempen Selangor Gempur Aedes’ bermula 21 Januari hingga 17 Februari ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kempen itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor.

“Saya memandang serius terhadap statistik terkini penularan wabak denggi terutama di Selangor yang menunjukkan peningkatan amat ketara membabitkan beberapa daerah di negeri ini.

“Oleh itu, selaku EXCO Kesihatan sejumlah RM500,000 diperuntukkan kepada seluruh PBT untuk menjalankan ‘task force’ pembersihan dan penghapusan tempat pembiakan aedes di semua lokaliti ‘hotspot’ denggi yang sukar diakses serta kurang mendapat kerjasama dari komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Selangor Isytihar Ops Gempur Aedes besar-besaran di Hotel Carlton, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, antara aktiviti dilakukan pada kempen itu adalah kawalan sporadik berfokus bersama PBT dengan sasaran melebihi 50 peratus lokaliti wabak melalui aktiviti Penghapusan Tempat Pembiakan (PTP) dan ‘larvaciding’.

“Penguatkuasaan tempat pembiakan akan dipertingkatkan dengan memberi fokus kepada kawasan tumpuan awam antaranya seperti pasar raya, tapak pasar malam atau pagi, pasar basah, pusat sukan dan rumah ibadat.

“Justeru, Pasukan Perubahan Tingkah Laku (COMBI) juga akan diaktifkan semula bagi meningkatkan aktiviti promosi kesihatan dan penghapusan tempat pembiakan Aedes melalui kumpulan kecil atau gotong-royong. Ini juga membabitkan mobilasi ahli COMBI ke lokaliti ‘hotspot’,” katanya.

Terdahulu, Selangor dilaporkan antara yang tertinggi mengalami wabak denggi bermula hujung tahun lalu sehingga minggu kedua tahun ini.

Berdasarkan analisa dilakukan Unit Vektor, Jabatan Kesihatan Selangor mendapati peningkatan adalah melebihi 200 peratus berbanding tahun lalu.

Antara daerah mencatat kumulatif kes tertinggi sehingga 12 Januari lalu adalah Petaling dengan 1,061 kes, Klang (960), Hulu Langat (608) dan Gombak (328).

Manakala, sebanyak 122 lokaliti ‘hotspot’ berjaya dikenal pasti membabitkan 66 di Petaling, Klang (22), Hulu Langat (21), Gombak (12) dan Sepang (satu).

 


Pengarang :