PBTSELANGOR

Tindakan tegas jika terbabit isu sampah haram

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 JAN : Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan kegiatan sampah haram.

Ahli Majlis MPS, Amir Fazlee Khalid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu itu dan bakal menyita serta mengeluarkan kompaun kepada pesalah.

“Jika ia membabitkan tanah persendirian, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak akan mengeluarkan borang 7A atau tanah mereka akan dirampas.

“Kita pandang serius isu ini memandangkan aktiviti pembuangan sampah haram bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah ia turut mengganggu pandangan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPS Bil 1/2019 di MPS, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, PTD Gombak dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menyaman pesalah yang disabit melakukan kesalahan itu.

“Bagaimanapun, kita akui untuk membebaskan kawasan pentadbiran MPS daripada isu sampah haram ini agak sukar, namun kita akan cuba meminimumkan ia sehingga dapat dihapuskan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, isu pembuangan sampah haram sering terjadi di kawasan pentadbiran MPS sehingga beberapa aduan dikemukakan penduduk setempat.

Antara kawasan hotspot yang sering menjadi tempat pembuangan sampah haram adalah di Raintree, Batu Caves; Sungai Kertas; Kuang dan Batu 7, Gombak.


Pengarang :