SELANGOR

MB Selangor wakili semangat baru-Anwar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 24 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari disifatkan sebagai pemimpin muda memiliki semangat baru yang bersedia membawa perubahan kepada Selangor.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri itu tidak sesekali bertolak ansur dengan rasuah dan salah laku dalam pentadbiran.

“Menteri Besar Selangor, Amirudin dia nampaknya mewakili semangat baru. Dia selalu laporkan kepada saya, berikan kemudahan baru supaya dapat ringankan sedikit beban rakyat.

“PRK Semenyih ini penting, kita mahu orang Melayu, Cina, India dan Orang Asal memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri supaya kita dapat tadbir dengan baik dan meneruskan kerja kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih, di Taman Sri Jenaris, di sini, malam tadi.

Anwar turut menolak pandangan sesetengah pihak bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN), pada PRK DUN Semenyih tidak akan membawa sebarang makna.

Sebaliknya beliau berkata, memberi kemenangan kepada calon lain akan menghantar isyarat salah berhubung sokongan rakyat terhadap dasar yang dijalankan Kerajaan Negeri.

“Hanya memilih calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali yang boleh membantu Kerajaan Negeri menyampaikan kemudahan dan dasar kepada pengundi di sini,” katanya.


Pengarang :