BERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor berkenan berangkat ke Tamu Hotel

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mencemar duli berangkat ke Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, hari ini.

Lawatan baginda itu bersempena dengan siapnya hotel berkenaan, sejak 1 Februari tahun lalu.

Turut mencemar duli, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Hadir sama, Pengasas Hotel Tamu & Suites Kampung Bharu, Dato’ Mohd Khay Ibrahim; Pengurus Besar Kumpulan Zikay Berhad, Taufiq Dato’ Mohd Khay dan Pengurus Besar Perbadanan Kampung Bharu, Zulkurnain Hassan.

Baginda turut mencemar duli dengan berkenan melawat beberapa lokasi tarikan dalam hotel itu termasuk kolam renang infiniti dan restoran.

Baginda kemudian diberi taklimat ringkas oleh pihak pengurusan termasuk Perbadanan Kampung Bharu.

Sementara itu, Taufiq berkata, hotel yang dibangunkan Zikay Group mempunyai 40 tingkat dan pemandangan segi tiga emas Kuala Lumpur yang cukup mengkagumkan termasuk Menara Kuala Lumpur serta KLCC.

Katanya, projek yang menelan belanja RM200 juta itu adalah bernilai tinggi, yang pertama seumpamanya di Kampung Bharu.

“Zikay Group dimiliki 100 peratus bumiputera dan 90 peratus pekerja terdiri daripada bumiputera.

“Sejak penubuhannya pada 1992, kami berjaya membina 3,000 buah rumah di Selangor termasuk di Bangi, Subang Impian, dan Taman Tasik Biru Kuang,” katanya.


Pengarang :