SELANGOR

Bloomberg: Indeks Harga Pengguna turun bawah PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 27 FEB: Agensi berita antarabangsa, Bloomberg melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) negara turun 0.7, peratus sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) menerajui pentadbiran negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keadaan itu membuktikan kesungguhan kerajaan PAKATAN berusaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Ini fakta. Saya baca Bloomberg berkenaan laporan ekonomi, sejak PAKATAN jaga negara, walaupun kita belum merasa betul-betul tetapi sebenarnya atas keputusan kerajaan termasuk memperkenalkan rebat pengangkutan, harga barang secara purata di Malaysia turun 0.7 peratus.

“Kita berjaya mengurangkan harga barang walaupun belum mengurangkan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya pada program Ceramah Isu Semasa dan Pelancaran Aiman For Semenyih, di Pangsapuri Bandar Rinching, di sini, malam tadi.

Katanya, usaha mengurangkan kos sara hidup memerlukan usaha keras berterusan dan mengambil masa panjang sebelum rakyat boleh merasai keberkesanannya.

Katanya, langkah membuat pinjaman bukanlah suatu penyelesaian bagus kerana akan membebankan negara dan masa depan generasi muda.

Pada Januari lalu, Reuters turut melaporkan IHP Malaysia dijangka turun pertama kali dalam tempoh 10 tahun.

Menurut 13 pakar ekonomi yang terbabit dalam tinjauan itu, IHP diunjurkan turun 0.2 peratus berbanding 0.1 peratus, pada November 2009.


Pengarang :