SELANGOR

Lima laluan baharu Bas Smart Selangor tahun ini

OLEH NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 1 MAC: Perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor akan diperluaskan lagi dengan pertambahan lima laluan baharu pada tahun ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri juga bakal menambah 15 bas bagi menjayakan program itu.

“Lima laluan baru termasuk dua untuk hari ini membabitkan 15 buah bas baru akan dirasmikan tahun ini.

“Ini menjadikan kos untuk program Bas Smart Selangor pada 2019 dianggarkan menelan perbelanjaan RM30 juta” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Laluan Baru KJ04 dan KJ05 di sini, hari ini.

Katanya, antara laluan itu membabitkan laluan di Pinggiran Putra, Pasar Borong dan Hospital Serdang yang terletak di dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Sze Han berkata, langkah ini selaras dengan dasar Kerajaan Negeri mahu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam di samping membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melancarkan dua lagi laluan baru di Majlis Perbandaran Kajang iaitu KJ04 dan KJ05.


Pengarang :