SELANGOR

Gagal lunas tunggakan, 21 pemilik harta terima notis

OLEH UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 1 MAC: Sebanyak 21 notis cukai taksiran dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap pemilik harta yang gagal melunaskan tunggakan cukai taksiran membabitkan jumlah keseluruhan RM275,699.

Notis terbabit dikeluarkan dalam operasi sita cukai taksiran, di beberapa premis perdagangan dan perindustrian sekitar Seksyen 7, 32 dan U5, di sini, pada 21 Februari lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ia dikeluarkan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Operasi itu bertujuan memberikan kesedaran kepada pemilik harta peka menjelaskan cukai taksiran waktu ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Shahrin berkata, operasi sita cukai taksiran akan diadakan setiap minggu di kawasan yang mempunyai jumlah tunggakan cukai taksiran tinggi.

Justeru katanya, pemilik harta di kawasan pihak berkuasa tempatan itu diingatkan supaya menjelaskan tunggakan cukai taksiran bagi mengelakkan tindakan sitaan diambil ke atas pegangan masing-masing.

“MBSA ada menyediakan pelbagai kemudahan bayaran seperti di kaunter bank, secara atas talian, kaunter bayaran di Pejabat Cawangan MBSA serta Pejabat Bergerak ‘Shah ALam On Wheel’ secara berjadual mengikut kawasan ditetapkan setiap hari Sabtu.

“Hasil cukai taksiran ini dapat mempertingkatkan perkhidmatan perbandaran seperti perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan penyeleggaraan kemudahan awam,” katanya.


Pengarang :