NASIONAL

Bursa Malaysia catat prestasi bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Bursa Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur ketika dibuka hari ini dengan indeks komposit susut 0.57 mata kepada 1,677.67 berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana.

Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.03 peratus daripada 1,678.24 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 2.58 mata lebih rendah kepada 1,675.66.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 209 berbanding 143, manakala 204 kaunter tidak berubah, 1,348 kaunter tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 526.91 juta saham bernilai RM212.56 juta.

Public Bank Investment Bank Bhd berkata dagangan hari ini dijangka mengambil petunjuk daripada pasaran saham global yang menyaksikan bursa AS mencatatkan prestasi peningkatan paling lama dalam tempoh hampir sebulan pada Rabu, dengan saham penjagaan kesihatan dan tenaga memacu S&P 500 kepada paras tertinggi tahun ini.

“Sentimen pelabur yang positif terhadap ekuiti, sebahagiannya semalam didorong oleh petanda inflasi lemah — sekali lagi menjadikan pelabur tidak berminat dengan bon kerajaan, memacu hasil lebih tinggi serta prestasi saham Eropah lebih baik ketika risiko ancaman Brexit yang bercelaru,” menurut firma itu dalam nota hari ini.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank, Tenaga dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM9.55, RM12.70 dan RM5.91 manakala PBBank dan HLBank masing-masing kurang dua sen kepada RM24.46 dan RM20.47 serta PCHem menambah 13 sen kepada RM9.43.

Bagi saham aktif, kaunter tenaga, Destini meningkat tujuh sen kepada 32.5 sen, Perdana naik 6.5 sen kepada 51.5 sen, Sapnrg dan warannya menokok setengah sen kepada 34.5 sen dan 11 sen manakala Armada dan KNM masing-masing tidak berubah pada 19.5 sen dan 11.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 0.54 mata kepada 11,722.30, FBMT 100 kurang 1.83 mata kepada 11,568.67, Indeks FBM Emas Syariah susut 5.46 mata kepada 11,702.28.

Bagaimanapun FBM 70 meningkat 6.16 mata kepada 14,108.71 dan Indeks FBM Ace naik 15.77 mata kepada 4,766.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 16.70 mata pada 17,505.23, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.02 mata kepada 171.29 tetapi Indeks Perladangan turun 30.65 mata kepada 7.218.31. –BERNAMA


Pengarang :