SELANGOR

Projek perintis bangun model jaringan hijau di flat kos rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Projek perintis bagi pembangunan model jaringan hijau akan dijalankan di tiga buah flat kos rendah daripada tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) berbeza di Selangor.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, PBT terbabit ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Hasil daripada kajian ini, Kerajaan Negeri akan menetapkan satu model jaringan hijau berkonsepkan kawasan terbuka, lapang, hijau dan selamat dalam menyokong sistem ekologi serta sosial sosial sesebuah komuniti.

“Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan di kawasan jaringan hijau untuk mengurangkan tekanan melalui aktiviti beriadah dan bersosial.

“Reka bentuk zon jaringan hijau ini akan turut mengambil kira akses yang selamat ke kawasan luar pangsapuri seperti laluan ke sekolah, perhentian pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan perbahasan usul peruntukan Pembangunan Belanjawan Selangor, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Usul berkenaan dibahaskan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berhubung insiden motosikal dibakar yang disyaki berpunca daripada perbuatan khianat remaja, di Pangsapuri Angsana, Taman Subang Mewah, pada Mei tahun lalu.

Kejadian terbabit menyebabkan kerosakan pada beberapa kemudahan pangsapuri berkenaan selain premis perniagaan turut terjejas ekoran bahang api yang merosakkan dinding serta siling.

Difahamkan, kesemua remaja terbabit bertindak sedemikian ekoran tidak berpuas hati dengan penduduk yang sering menegur mereka membuat bising di bawah blok.

Mengulas lanjut, Haniza berkata, terdapat kelemahan dalam dasar terdahulu berkaitan keperluan menyediakan kawasan lapang yang seimbang dengan kepadatan penduduk.

“Berdasarkan maklum balas daripada PBT melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar bertarikh 12 hingga 14 Disember 2018, dasar keperluan penyediaan kawasan lapan ini sudah ditambah baik,” katanya.


Pengarang :