EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 1 APR: Saham-saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pada pada pagi Isnin, menjejaki prestasi positif yang dicatatkan di Wall Street pada Jumaat lepas.

Pada jam 9 pagi, indeks penanda aras itu menokok 2.35 mata kepada 1,645.98 berbanding 1,643.63 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Ia dibuka 2.8 mata lebih tinggi kepada 1,646.43.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 147 berbanding 30 manakala 134 kaunter lain tidak berubah, 1,546 tidak didagangkan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 53.63 juta saham bernilai RM24.06 juta.

Sementara itu firma penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd mengunjurkan beberapa perkembangan positif akan mempengaruhi saham tempatan hari ini susulan prestasi indeks luar negara yang meningkat pada akhir minggu lalu.

“Sentimen pasaran yang lebih positif akan turut memacu pergerakan saham rendah dan saham di pasaran utama dalam tempoh terdekat ini. Kami turut melihat peningkatan aktiviti perdagangan ketika kalangan pemain runcit memanfaatkan sentimen positif ini untuk membeli saham berharga rendah,” katanya.

Selain itu, rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang mencatat kemajuan, juga menjadi pemangkin yang sememangnya diperlukan saham-saham di Malaysia pada masa terdekat, kata firma itu.

Melaka Securities berpendapat tahap 1,650 sebagai halangan utama aliran peningkatan bursa pada masa ini dan paras rintangan adalah sekitar 1,654 dan 1,657 manakala sokongan dalam lingkungan 1,641 dan 1,635.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung satu sen kepada RM9.28, Public Bank menokok lapan sen kepada RM23.24, Tenaga naik empat sen kepada RM12.70 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM9.16.

Bagi saham aktif, GD Express meningkat dua sen kepada 36.5 sen manakala Gets Global, IFCA dan Borneo Oil masing-masing menambah setengah sen kepada 34 sen, 45 sen dan 4.5 sen.

Indeks FBM Emas pula meningkat 19.92 mata kepada 11,573.76, Indeks FBMT 100 naik 19.38 mata kepada 11,426.73 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 20.12 mata kepada 11,708.18.

FBM 70 pula meningkat 36.43 mata kepada 14,249.07 manakala Indeks FBM Ace naik 8.9 mata kepada 4,841.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.18 mata kepada 16,988.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.21 mata kepada 169.14 namun Indeks Perladangan susut 5.38 mata kepada 7,180.73.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :