BERITA UTAMANASIONAL

Perlu yakin capai matlamat Harimau Asia – Anwar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 APR : Golongan mahasiswa, generasi muda dan pimpinan negara perlu memiliki keyakinan, kerangka, pemikiran pokok serta tindakan amal sekiranya mahu Malaysia mencapai matlamat menjadi Harimau Asia.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemikir Islam Algeria, Malek Bennabi juga mengakui sesebuah pembaharuan (renaissance) itu tidak berlaku secara sendiri.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai kerajaan juga sedang melaksanakan pembaharuan berlandaskan agenda perubahan dengan meninggalkan sistem bobrok, menolak rasuah dan memastikan rakyat mendapat pembelaan.

“Kita mesti yakin dan dalam konteks masyarakat Islam bahawa negara tidak boleh dibangunkan sekiranya pimpinannya itu zalim dan rasuah.

“Rakyat, baik Melayu, Bumiputera, bahkan rakyat seluruhnya, Cina India, Iban, Kadazan tidak mungkin dapat pembelaan jika pimpinannya dan generasi muda yang harus menjadi kekuatan asas tidak mempunyai kesedaran dalaman,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia bertajuk ‘Reformasi Institusi’ di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

Pada masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, sekiranya tidak mempunyai kerangka pemikiran atau idea pendorong yang menjadi asas kepada konsep dan dasar pembinaan negara, seseorang itu sudah pasti akan mudah dibeli, terpesong dengan wang serta kedudukan.

Katanya, kerangka idea adalah antara strategi penting bagi menentukan dasar yang dilaksanakan pada masa depan.

“Adam Smith pernah berkata dalam bukunya Wealth of Nations sekiranya mahu membangunkan sesebuah negara adalah penting untuk mempunyai keseimbangan nilai modal, sikap dan disiplin.

“Ada keprihatinan terhadap orang yang derita dan miskin, tersisih daripada asas pembangunan. Jika tidak ada, maka kita ini hanya menjadi haiwan ekonomi tanpa akhlak dan moral,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam kesibukan membina negara dan ekonomi, kebajikan rakyat tidak boleh diketepikan.

Katanya, isu pelajar berlapar di universiti bukan satu perkara baharu sebaliknya ia cuma tidak didedahkan semasa pentadbiran kerajaan dahulu sebaliknya diuar-uarkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

“Sekarang jika ada 10 orang berlapar, ia dihebahkan. Kalau pimpinan itu prihatin, segera diambil tindakan.

“Media yang bebas itu membantu kita kerana kita tidak boleh tahu semua,” katanya.

Oleh itu, katanya, sekiranya mahasiswa mahukan perubahan dan pembangunan, mereka perlu memahami bukan sahaja berdasarkan ilmu dalam buku dan wacana tetapi perlu meneruskannya dengan tindakan di peringkat akar umbi.

 

 


Pengarang :