NASIONAL

SPRM tahan setiausaha politik disyaki terima jam RM28,000

PUTRAJAYA, 1 APR: Seorang setiausaha politik seorang menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 47 tahun tersebut ditahan pada kira-kira pukul 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan sebuah kementerian,” kata sumber berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Tambah sumber tersebut, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putajaya, pagi esok.

— BERNAMA


Pengarang :