NASIONAL

Pergerakan penumpang MAHB meningkat 3.7% suku pertama 2019

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (SGAH), mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada 33.4 juta pergerakan penumpang bagi suku pertama tahun ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata, sektor antarabangsa mencatatkan pertumbuhan 3.4 peratus, dengan 16.1 juta pergerakan penumpang pada suku dalam kajian, manakala sektor domestik meningkat empat peratus dengan 17.4 juta pergerakan penumpang.

Bagi Mac sahaja, pergerakan penumpang bagi keseluruhan sistem mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus dengan 11.7 juta penumpang. Sektor antarabangsa dan domestik meningkat tiga peratus dan 3.1 peratus.

MAHB berkata pergerakan penumpang Malaysia meningkat sebanyak 3.1 peratus pada Mac 2019 dengan faktor beban purata sebanyak 75.8 peratus.

“Pergerakan domestik meningkat 6.9 peratus manakala sektor antarabangsa merosot 0.4 peratus.

“Istanbul SGIA mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus dengan pertumbuhan 20.5 peratus dalam sektor antarabangsa dan penurunan 5.4 peratus untuk domestik,”katanya.

Mengulas lanjut, MAHB berkata pengisian kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan pada masa depan berkemungkinan akan kekal melebihi jangkaan dan pengendali lapangan terbang tetap optimis bahawa pertumbuhan 4.9 peratus trafik penumpang untuk 2019 akan dapat dicapai. -BERNAMA


Pengarang :