YALA, 1 Jun : Seorang remaja cedera parah dalam insiden letupan bom paip di Pekan Benan Setar, Yala, selatan Thailand, hari ini.
Penolong Ketua Polis Siasatan Jenayah Benan Setar, Kapt. Pol. Nathrawut Pechsatit berkata bom paip tersebut dipercayai disasarkan ke sebuah pusat keselamatan di Pekan itu. Kejadian itu berlaku kira-kira 12 tengah hari.
Bagaimanapun, bom paip tersebut meletup di depan sebuah bank tempatan yang terletak bersebelahan pusat kawalan keselamatan itu.
“Anuar Lametma, 17, yang ketika itu sedang melalui tempat kejadian dengan menunggang motosikal cedera parah akibat terkena serpihan bom,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian, empat anggota polis sedang bertugas di pusat kawalan tersebut.
Polis sedang menjejaki kumpulan yang mendalangi letupan ini, katanya. -BERNAMA