NASIONAL

KPN nafi mesej tular tentang penahanan Jho Low

 

KUALA LUMPUR, 1 Jun : Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini menafikan mesej yang tular di media sosial mendakwa ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, telah ditahan.

“Kami sedang berusaha ke arah itu tetapi tiada apa yang dimuktamadkan lagi. Mesej itu tidak betul,” katanya apabila ditanya mengenai perkara itu.

Mesej yang tular di media sosial itu mendakwa ahli perniagaan kontroversi itu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah ditahan pihak berkuasa China dan akan dibawa pulang ke Malaysia.

Sebelum ini, Abdul Hamid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi jaminan kepada Jho Low bahawa adalah selamat baginya untuk kembali ke Malaysia bagi menjalani proses perundangan.

Pada Khamis (30 Mei) Abdul Hamid berkata Jho Low dijangka ditahan tidak lama lagi dan polis yakin dapat membawanya pulang ke tanah air untuk berdepan dengan tindakan undang-undang.

Beliau berkata polis mempunyai petunjuk baharu mengenai keberadaan Jho Low. -BERNAMA


Pengarang :