BERITA UTAMASELANGOR

Bengkel Pintar Radom pertama negara dilancar di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

FOTO REMY ARIFIN

SEPANG, 10 JUN: Pembukaan Bengkel Pintar Radom pertama di Malaysia yang dilancarkan di Sepang Aircraft Engineering (SAE) mencatatkan sejarah tersendiri kepada Selangor, selaras visi ‘Smart Selangor 2025′.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bengkel yang berfungsi sebagai tempat membaik pulih radom pada muncung pesawat itu adalah milik SAE yang juga anak syarikat milik penuh Airbus.

Katanya, bengkel pintar itu terdiri daripada tiga bilik pemeriksaan, sebuah bilik mengempelas, dua ruang menyembur cat yang khusus, sebuah bilik bersih dan sebuah bilik pengeringan serta membaik pulih cat.

“Saya difahamkan tahap kecekapan bengkel ini turut dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi digital pintar secara ekstensif yang dapat memanfaatkan data diperolehi daripada pesawat sepenuhnya dan pengunaan fungsi automasi secara maksimum.

“Menariknya, pembukaan bengkel seumpama ini selaras Revolusi Industri 4.0 dan sebahagian daripada rangkaian Selangor menuju negeri pintar menjelang 2025.

“Malah, ia juga sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke 11, sokongan dana dan geran adalah daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Melancarkan Pembukaan Bengkel Pintar Radom di Sepang Aircraft Engineering, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Aircraft Engineering, Raymond Lim.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau optimis pelaburan seumpama itu dapat diteruskan lagi di Selangor pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada Airbus yang masih setia di Sepang dan Subang, harap dapat meneruskan pelaburan sebegini lagi pada masa akan datang,” katanya.

Airbus adalah rakan kongsi antarabangsa terbesar Malaysia bagi sektor aeroangkasa dengan perniagaan pembekalan dan perkhidmatan di negara ini bernilai RM1.67 bilion setiap tahun bagi menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

Selain itu, aktiviti dikendalikan syarikat itu turut memberi pekerjaan kepada 4,000 rakyat Malaysia bagi memenuhi keperluan industri penerbangan negara yang pesat berkembang.


Pengarang :