BERITA UTAMASELANGOR

MDKS: Caj parkir 50 sen ditunda 1 September

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUN: Caj parkir kereta di sekitar Kuala Selangor sebanyak 50 sen sejam ditunda dan hanya akan dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 1 September.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, bagaimanapun ia hanya membabitkan 6,090 parkir iaitu hanya 18 peratus daripada keseluruhan 33,858 parkir di daerah itu.

Katanya, selain pengenalan kadar yang munasabah dan terendah berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain, MDKS juga mengambil ketetapan mengecualikan caj pada kenderaan yang mempunyai pelekat orang kelainan upaya (OKU).

“Kadar cadangan permulaan sebanyak 40 sen adalah kadar ditetapkan pada 1999 dan ia sudah tidak relevan pada ketika ini.

“Selain menunda tarikh caj bayaran sejak dari 1999 dahulu, kita turut mengambil ketetapan bahawa kenderaan yang mempunyai pelekat OKU tidak akan dikenakan bayaran dan pas bulanan sebanyak RM60 sebulan turut ditawarkan sehingga Disember tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, masa operasi caj parkir kereta itu akan bermula dari jam 8 pagi sehingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum).

Pada masa sama, katanya, pengenalan caj itu tidak menyasarkan kepada keuntungan sebaliknya untuk menyelesaikan beberapa masalah berulang daripada segi kos penyelenggaraan tinggi, salah guna tapak parkir dan isu kesesakan di kawasan tumpuan.

“Dengan sistem parkir berbayar, pengguna kenderaan di kawasan tumpuan utama berpeluang meletak kenderaan masing-masing dengan lebih selesa dan penyelenggaraan yang optimum untuk kemudahan awam terbabit,” katanya.

Terdahulu, pelaksanaan caj parkir itu adalah keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam mesyuaratnya yang ke 10/98 pada 1 April 1998 berhubung penyeragaman sistem kutipan letak kereta seluruh Selangor secara penswastaan.

Memorandum persefahaman itu sudah ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan syarikat konsesi pada 26 April 1999.

Bagaimanapun, MDKS selaku pelaksana kepada arahan tersebut menangguhkan arahan terbabit kerana terdapat bantahan untuk melaksanakannya selain mengambil kira faktor sosioekonomi masyarakat setempat ketika itu yang masih berteraskan kepada pertanian dan perikanan.


Pengarang :