Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA anjur Pertandingan ‘Waste to Art Sculpture Competition”

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Pertandingan ‘Waste to Art Sculpture Competition’ bermula sejak 1 Mei lalu sehingga 2 September ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, menerusi pertandingan itu, peserta dikehendaki menyiapkan arca dengan menggunakan bahan terpakai seperti kertas, tin minuman, kaca dan tali.

Katanya, pertandingan itu bertujuan memupuk minat dan mempamerkan bakat masyarakat dalam menghasilkan arca seni sekaligus mempromosikan Shah Alam sebagai Kota Seni selain mendidik golongan muda memelihara serta menghargai alam sekitar.

“Terdapat dua fasa sepanjang pelaksanaan pertandingan ini iaitu fasa pertama mambabitkan penyerahan borang penyertaan dan kertas cadangan dari 1 Mei sehingga 30 Jun dan akan dinilai pada 1 sehingga 31 Julai.

“Fasa kedua pula merangkumi penyerahan arca pada 26 Ogos, penyerahan akhir arca pada 2 September, penjurian akhir pada 5 September dan pameran serta penyerahan hadiah pada 6 sehingga 27 September,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Pada masa sama, Shahrin berkata, pertandingan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu terbuka dan Shah Alam.

“Kategori terbuka adalah penyertaan yang dibuka kepada orang awam, manakala kategori Shah Alam khusus kepada komuniti Shah Alam.

“Pemenang akan dinilai menerusi beberapa aspek berdasarkan kreativiti menggunakan bahan terbuang, keaslian dan teknik pembuatan arca yang terbaik,” katanya.

Pertandingan itu juga menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM21,500 dan sijil penyertaan.

“Tempat pertama pertandingan bagi kategori terbuka akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, tempat kedua (RM3,000), tempat ketiga (RM2,000) dan hadiah saguhati berjumlah RM500 seorang untuk lima pemenang.

“Bagi kategori Shah Alam pula, tempat pertama pertandingan akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, tempat kedua (RM2,000), tempat ketiga (RM1,500) dan hadiah saguhati berjumlah RM500 seorang untuk lima pemenang,” katanya.


Pengarang :