EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia ditutup rendah susulan jualan saham

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih diterajui kaunter perkhidmatan kewangan berkaitan indeks.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.81 mata kepada 1,669.45 berbanding paras penutup 1,679.26 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka pada 1,681.03 dan bergerak antara paras 1,668.99 dan 1,682.04 sepanjang hari dagangan.

Naib Presiden Kanan (pelaburan) Asia Pasifik Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata pada masa hadapan beliau menjangka pasaran tempatan mencatatkan lantunan semula berikutan kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

“Tumpuan terarah kepada Pengerusi Fed yang meneruskan hari keduanya memberi keterangan di hadapan penggubal undang-undang Washington pada Khamis.

“Kami percaya hujah utama daripada keterangan beliau adalah amarannya kepada Kongres tentang ketidakpastian dalam ekonomi Amerika Syarikat, yang meningkatkan lagi jangkaan pelabur bahawa Fed akan menurunkan kadarnya lewat bulan ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 453 berbanding 401, manakala 412 kaunter tidak berubah, 582 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan tiga sen kepada RM8.92, Public Bank, Tenaga dan PPB Group turun empat sen setiap satu masing-masing kepada RM22.96, RM13.68 dan RM18.74, manakala Petronas Chemicals naik dua sen kepada RM8.42 dan KLK meningkat lapan sen kepada RM24.26.

Dalam kalangan kaunter cergas, KNM meningkat 1.5 sen kepada 36.5 sen, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 30 sen, Cuscapi naik 2.5 sen kepada 21 sen tetapi Excel Force MSC turun 5.5 sen kepada 61.5 sen.

Indeks FBM Emas berkurangan 48.64 mata kepada 11,844.25 manakala Indeks FBMT 100 jatuh 49.89 mata kepada 11,669.51.

Indeks FBM Emas Shariah turun 37.85 mata kepada 12,241.92, FBM Ace berkurangan 16.92 mata kepada 4,650.13 manakala FBM 70 menokok 12.27 mata kepada 14,877.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 121.49 mata kepada 16,642.19, Indeks Perladangan turun 28.4 mata kepada 6,911.28 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.12 mata kepada 161.32.

Jumlah dagangan turun kepada 2.93 bilion unit bernilai RM2.28 bilion berbanding 3.18 bilion unit bernilai RM2.21 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 2.11 bilion saham bernilai RM2.08 bilion daripada 2.40 bilion saham bernilai RM2.01 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 405.07 juta unit bernilai RM88.7 juta berbanding 416.52 juta unit bernilai RM90.52 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 413.78 juta saham bernilai RM105.6 juta daripada 355.22 juta saham bernilai RM105.27 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 348.88 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (171.81 juta), pembinaan (178.95 juta), teknologi (490.63 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (76.58 juta), hartanah (107.85 juta), perladangan (10.4 juta), REITs (16.45 juta), dana tertutup (3,000), tenaga (582.19 juta), penjagaan kesihatan (23.5 juta), telekomunikasi dan media (54.03 juta), pengangkutan dan logistik (24.14 juta) dan utiliti (30.56 juta). – BERNAMA


Pengarang :