AGENDANASIONAL

Warga asing tak mengaku perdagang orang

KUALA LUMPUR, 1 OGOS : Lima warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di dua buah Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, membabitkan 11 wanita Bangladesh berumur antara 20 hingga 40 tahun.

Di hadapan hakim Azura Alwi, tertuduh Md Kabir, 37, Md Razon Ahmed, 22, dan Pranto Pik, 23, menghadapi pertuduhan memperdagangkan lima wanita Bangladesh di sebuah hotel di sini pada 10.40 pagi 4 Julai.

Sementara itu, Abu Bakar Siddique, 20, dan Selina Begum, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita Bangladesh di Wisma K. Sengoden & Sons di sini pada 10.40 pagi 4 Julai lepas.

Kelima-lima tertuduh turut minta dibicarakan atas pertuduhan sama membabitkan seorang lagi wanita warga Bangladesh.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Azman Ahmad, Kabir, Razon dan Pranto didakwa dengan tiga pertuduhan melakukan kesalahan sama terhadap tiga lagi wanita, manakala Abu Bakar dan Selina didakwa dengan pertuduhan sama membabitkan seorang wanita di premis, masa dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika didapati bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya S. Kirubin mengendalikan kes pendakwaan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam P.Muniswer. Kedua-dua mahkamah menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula. -BERNAMA


Pengarang :