Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata lima lelaki berumur antara 24 dan 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Tun Razak, Cheras petang semalam, bersama pelbagai jenis peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun serta wang tunai RM1,500.
Beliau berkata dalam kejadian samun pada pukul 10.30 pagi, pemandu Grab yang berusia 31 tahun itu dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang cuba meragut beg silangnya, dan beliau yang ketakutan melarikan diri masuk ke dalam kereta, namun suspek bertindak memecahkan cermin kereta berkenaan.
“Suspek mengacukan pisau dan meminta pemandu Grab itu menyerahkan beg silang yang mengandungi dua kad kredit, kad pengenalan, telefon bimbit dan wang tunai RM200 sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.
Katanya empat daripada lima suspek yang ditahan itu mempunyai rekod lampau membabitkan dadah, samun dan curi.
“Ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine (meth) dan amfetamina. Polis turut menemui 0.4 gram dadah meth. Siasatan diteruskan termasuk penglibatan suspek dengan kes samun atau ragut lain yang dilaporkan sebelum ini,” tambahnya.
Mohamed Mokhsein berkata semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379(A) KK serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)9a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA