Amirudin Shari menyertai ibadah korban ketika Program Sumbangan Lembu, Ziarah Korban, Majlis Kenduri Rakyat Hari Raya Aidiladha 2019 di sekitar surau DUN Sungai Tua. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Korban ego, pentingkan diri demi keharmonian

GOMBAK, 11 OGOS: Semua pihak perlu mengorbankan perasaan mementingkan diri dan ego di dalam diri supaya dapat melahirkan masyarakat yang saling memahami dan harmoni.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pengorbanan melawan nafsu juga adalah antara penting bagi menjamin kehidupan dan masyarakat yang lebih baik.

“Dalam hidup kita perlu sentiasa berkorban dan pengorbanan itu sememangnya dilakukan atas dasar keikhlasan serta tanda ketaatan kepada Allah.

“Pengorbanan itu jika dilakukan dengan ikhlas, walaupun kecil Insya Allah akan memberi kesan besar kepada dalam diri kita dan semua orang di sekeliling kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Program Sumbangan Lembu, Ziarah Korban dan Majlis Kenduri Rakyat Di DUN Sungai Tua di perkarangan Surau Nurul Muttaqi, Apartmen Seri Cempaka di sini, hari ini.

Katanya, kerjasama semua lapisan masyarakat bagi melaksanakan sesuatu agenda adalah aset penting dalam membangunkan sesebuah negara.

Sambutan Hari Raya Aidiladha disambut meriah oleh masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua apabila disertai pelbagai lapisan masyarakat setempat.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri DUN terbabit turut meluangkan masa untuk meninjau sendiri upacara korban dilaksanakan.

Antara tempat yang dilawati ialah Surau Nurul Muttaqi, Apartmen Seri Cempaka; Surau Nurul Falah, Putri Laksamana; Surau Al Ehsan, Apartment Laksamana Jaya B, Surau Nurul Muttaqi, Apartment Cempaka, Surau Sururul Muttaqin, Kampung Boyan dan Surau Al-Hijrah Kampung Sungai Tua.


Pengarang :