AGENDANASIONAL

Agong, permaisuri ucap takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir Armaya

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir Armaya, yang meninggal dunia ketika melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah pagi ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa simpati dan sedih kepada keluarga Allahyarham Mohd Zahir dan menzahirkan harapan agar keluarganya tabah menghadapi suasana pilu serta dugaan daripada Allah SWT.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.

Yang di-Pertuan Agong, yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut menzahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Allahyarham Mohd Zahir yang berkhidmat sebagai pegawai komando.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Lok Kawi, Sabah.

Allahyarham Mohd Zahir, anak kepada pelakon serta pelawak veteran A.R Badul, dilapor meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi ini di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan.

-BERNAMA


Pengarang :