Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kunjungan Anwar ke Sabah penuhi jemputan komuniti Bajau

GEORGE TOWN, 7 SEPT: Kunjungan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kota Belud, Sabah pada 17 September ini bagi memenuhi jemputan komuniti Bajau di negeri itu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Justeru, beliau menolak spekulasi bahawa kunjungan Anwar bersama beberapa pemimpin parti itu ke Sabah untuk menghadiri majlis merekrut atau menerima anggota baharu KEADILAN.

“Kita dijemput pada 17 September ke Kota Belud oleh komuniti Bajau. Kita tahu Sabah mempunyai pelbagai etnik berbeza, mereka menjemput Datuk Seri Anwar dan lain-lain pemimpin parti.

“Sebagai presiden parti dan pemimpin Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar dijemput oleh pelbagai kalangan.

“Kali ini beliau menerima jemputan dari Sabah, bukan majlis penerimaan anggota (baharu) dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak, di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan spekulasi yang tersebar luas berhubung bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang dikatakan akan menyertai KEADILAN.

Portal itu turut melaporkan Ketua Penerangan United Sabah National Organisation (USNO) Musli Oli sebagai berkata dua pemimpin itu adalah antara sebilangan pemimpin penting komuniti Bajau di Sabah yang akan mengambil langkah berkenaan.

Pada Disember tahun lalu, Salleh serta Pandikar Amin mengumumkan keluar dari UMNO dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Merekaa adalah antara sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri, empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah yang bertindak meninggalkan parti itu.

-BERNAMA


Pengarang :