ADNSELANGOR

Sokongan erat rakyat bantu Zawawi kemudi Sungai Kandis

OLEH SHEEDA FATHIL

SUNGAI KANDIS, 8 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni menzahirkan rasa syukur atas kerjasama erat diberikan pelbagai pihak sepanjang setahun beliau mengemudi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Beliau turut berkongsi rasa teruja terhadap sokongan yang tidak berbelah bagi masyarakat setempat dan kerjasama erat pelbagai pihak selama ini.

Katanya, ia banyak membantu beliau dalam menyelesaikan masalah membabitkan jalan, isu perparitan dan kebakaran terbuka yang sering dilaporkan rakyat di DUN itu.

“Selepas 12 purnama diberi mandat mengemudi Sungai Kandis, saya lihat kerjasama yang diberikan cukup baik.

“Malah, cabaran juga tidak terlalu banyak memandangkan keadaan DUN ini sebahagian di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam dan sebahagian lagi Majlis Perbandaran Klang.

“Mereka ada Ahli Majlis yang sentiasa memberikan kerjasama dan sedikit sebanyak membantu saya menguruskan apa sahaja permasalahan berlaku di sini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menandatangani Plat Perasmian Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis di Bandar Putera 2 Klang, pada 8 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis dan Sambutan Setahun DUN Sungai Kandis, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau; ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri ; ADN Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamed Yasid Bidin.

Terdahulu, Amirudin turut merasmikan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis dan meraikan Sambutan Setahun DUN Sungai Kandis.

Pusat Khidmat Rakyat terbabit lebih strategik dan mesra warga emas memandangkan ia berada di tingkat bawah.

Manakala, di tingkat atas turut terdapat kemudahan seperti bilik mesyuarat, bilik aktiviti Pusat Wanita Berdaya dan surau.

Ahmad Zawawi meraih 15,427 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis sekali gus dipilih menjadi ADN, pada 4 Ogos tahun lalu.

PRK yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.


Pengarang :