AGENDANASIONAL

Tiada perisian anti virus boleh cegah jenayah siber

GEORGE TOWN, 24 SEPT: Tiada perisian anti virus yang dijual di pasaran ketika ini mampu mencegah kes jenayah melibatkan penipuan menerusi internet kerana modus operandi sindiket lebih jauh ke hadapan berbanding mana-mana aspek keselamatan yang ditawarkan.

Pensyarah di Pusat Termaju IPv6 Kebangsaan (NAv6), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr M. Selvakumar berkata, jenayah penipuan siber ini lebih melibatkan aspek kemanusiaan, sosiologi dan emosi yang sememangnya tidak ada perisian anti virus untuk membanterasnya.

“Jenayah siber ini juga semakin berkembang dan sukar dipatahkan disebabkan wujudnya kumpulan yang besar serta terlatih yang menjalankan jenayah tersebut sebab itu taktik dan modus operandi sindiket penjenayah siber lebih jauh ke hadapan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas membentangkan kertas kerja pada majlis Seminar Keselamatan Antarabangsa Ke-5 bertemakan jenayah siber anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) di sini.

Seminar selama dua hari itu yang dirasmikan Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran menghimpunkan kira-kira 10 pakar antarabangsa dalam bidang jenayah siber dan dihadiri kira-kira 100 peserta termasuk dari luar negara.

Selvakumar, seorang pakar keselamatan siber berkata, sebuah kumpulan penyelidik yang diketuainya di USM sedang membangunkan satu program kesedaran siber khusus kepada pelajar universiti untuk menangani jenayah siber melalui penekanan kepada aspek kemanusiaan.

Katanya, program itu menjurus kepada aspek pendidikan dan panduan ketika menggunakan internet khususnya media sosial bagi mengelakkan mereka terdedah dan mudah menjadi mangsa kepada penjenayah siber.

“Program ini dibangunkan beberapa bulan lepas dan dijangka siap hujung tahun ini dan kita berharap dapat membentangkannya kepada Kementerian Pendidikan untuk dijadikan mata pelajaran di sekolah,” katanya.

Sementara itu, beliau menggesa supaya lebih banyak lagi kempen kesedaran mengenai bahaya jenayah siber dianjurkan supaya orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkenaan dengan kaedah untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

“Bila jenayah siber melibatkan aspek kemanusiaan kita perlu bagi penerangan serta maklumat mengenai bahaya jenayah tersebut kepada orang ramai secara berterusan supaya mereka tidak menjadi mangsa khususnya dalam kes melibatkan Love Scam, Macau Scam dan banyak lagi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :