Beregu lelaki Selangor memenangi tempat kedua pada Kejohanan Badminton Sukan Orang Pekak peringkat kebangsaan di Michael’s Badminton Academy, Bukit Puchong pada 29 September 2019.
EXCOSELANGOR

Beregu lelaki Selangor raih tempat kedua Kejohanan Badminton Sukan Orang Pekak

PUCHONG, 29 SEPT: Atlet Selangor memenangi tempat kedua bagi kategori beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Sukan Orang Pekak peringkat kebangsaan, hari ini.

Pertandingan yang diadakan di Michael’s Badminton Academy, Bukit Puchong itu dijuarai pasukan dari Melaka manakala tempat ketiga dan keempat, dimenangi pasukan Sabah dan Kelantan.

Hadiah disampaikan EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairudddin Othman dan diiringi Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Turut sama, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Ong Shin Ruenn dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor, Sarkunan Balakrishnan.

Sementara itu, Mohd Khairudddin berkata, Selangor sentiasa memberi ruang kepada semua jenis bentuk sukan terutamanya kepada Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Saya faham penganjur terpaksa melalui cabaran yang besar untuk menjayakan acara ini, namun dengan kehadiran pemain dari seluruh negara menbuktikan kejayaan kejohanan kali ini.

“Tahniah kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor dan semoga acara lebih besar akan diadakan pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :