Amirudin Shari menyempurnakan perasmian Seminar Pentadbiran Dan Pembangunan Tanah 2019 di Hotel De Palma pada 1 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Pembangunan data tanah mampu penuhi keperluan semasa

SHAH ALAM, 1 OKT: Pembangunan data tanah yang tepat dan mudah dicapai umum dengan cepat sangat diperlukan seiring dengan kemajuan semasa ke arah Revolusi Industri 4.0.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kegagalan membangunkan data tanah yang efisyen akan menimbulkan masalah untuk jangka panjang kerana dinamik pengurusan masa kini berbeza mengikut perubahan setempat.

“Ini (data tanah) adalah satu permintaan daripada umum yang datang dari semasa ke semasa. Sudah pasti kewujudan apa yang kita panggil sebagai e-tanah sudah diperkatakan sejak beberapa tahun lalu.

“Secara realitinya, kita masih belum mampu membangunkan satu sistem menyeluruh yang boleh diakses pegawai untuk mengemukakan data tanah secara cepat dan tepat.

“Pengalaman Selangor, kita sudah mula pada 2009 dan 2010 dengan mewujudkan jawatankuasa untuk memastikan data tanah itu didigitalkan serta mudah diakses pegawai kita (Kerajaan Negeri).

“Dengan pendekatan perlahan-lahan itu apa yang boleh saya katakan hampir 90 peratus daripada cukai tanah semasa di negeri ini dapat dikutip kerana kemampuan kita mengurus dan mendapatkan data yang tepat,” katanya.

Amirudin Shari menyampaikan ucapan sebelum merasmikan Seminar Pentadbiran Dan Pembangunan Tanah 2019 di Hotel De Palma pada 1 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Pentadbiran dan Pembangunan Tanah 2019 di Hotel De Palma  di sini, hari ini.

Katanya, kewujudan data tanah mampu meminimakan masalah yang sering dibangkitkan seperti penipuan dan pertindihan permohonan.

Seminar anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui program pascasiswazah Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur dengan kerjasama Kumpulan Kajian Pengajian Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (LAnDS) serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Dengan tema Pentadbiran Tanah di Malaysia: Dinamik Mendepani Pembangunan Negara, seminar ini juga salah satu langkah bagi mengeratkan hubungan di antara universiti dan badan kerajaan mahupun swasta dalam menangani pelbagai isu pentabiran serta pembangunan tanah di Malaysia.

Ia juga dilihat memainkan peranan penting dalam menerangkan hala tuju baharu pentadbiran dan pembangunan tanah untuk pembentukan negara yang lestari.


Pengarang :