Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Remaja bawah umur tenang ketika kenyataan dirakam polis

SHAH ALAM, 3 OKT: Seorang saksi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa salah seorang tertuduh bawah umur berusia 14 tenang dan tidak berada di bawah tekanan ketika kenyataannya dirakamkan oleh polis.

Saksi pendakwaan ketujuh, Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Anestassia Chin Fat berkata, ketika kenyataan dirakam remaja berkenaan berada dalam keadaan tenang dan memahami setiap persoalan yang diajukan kepadanya dalam bahasa Melayu.

Anestassia merupakan pegawai penyiasat yang merekodkan kenyataan remaja berkenaan di sebuah bilik di pejabat detektif IPD Petaling Jaya pada 11 September, tahun lalu

“Dia juga kemudian membaca kenyataannya yang telah siap dirakamkan dan saya juga ada meminta dia membetulkan atau menambah apa-apa dalam kenyataannya jika perlu,” katanya ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Ketika menjawab persoalan Salim mengapa tiada peguam atau anggota keluarga menemani remaja bawah umur berkenaan ketika kenyataannya dirakamkan, Anestassia berkata ia tidak perlu kerana kenyataan remaja berkenaan konsisten dengan kenyataan sebelum dia ditahan reman.

Menjawab soalan bahawa remaja berkenaan fasih dan lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Anestassia berkata, remaja berkenaan tidak mempunyai masalah memahami soalan dan membaca keterangan yang dirakam dalam bahasa Melayu.

Terdahulu, peguam remaja berkenaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memberitahu mahkamah bahawa sebelum keterangan berkenaan dirakam, remaja itu mendakwa beliau telah dibohongi pegawai penyiasat.

Muhammad Shafee berkata, remaja berkenaan membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 22 September tahun lepas, mengatakan kejadian itu berlaku semasa dia ditahan reman

Muhammad Shafee membacakan laporan itu yang dibuat bagi memperbetulkan kenyataan yang diambil semasa dia ditahan reman selama tujuh hari dari 5 hingga 12 September tahun lepas.

“Sewaktu direman, saya disoal siasat oleh banyak pegawai penyiasat, antara tiga hingga lima anggota polis di dalam bilik. Saya diberitahu untuk memberikan kerjasama dan jika berbuat demikian saya akan dibebaskan dengan lebih awal.

Pada 12 Mac lepas, Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :