AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SPRM keluar notis kompaun kepada penerima wang 1MDB

PUTRAJAYA, 7 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya.

Beliau berkata, individu dan entiti yang menerima kompaun itu diberi tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.

Latheefa berkata, secara purata individu terbabit menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta, sementara entiti terlibat menerima wang sehingga RM134 juta.

Menurut Latheefa, Solar Shine Sdn Bhd adalah entiti yang menerima jumlah wang tertinggi, RM134 juta sementara individu, Datuk Seri Nazir Tun Razak yang merupakan bekas Pengerusi CIMB menerima RM25.7 juta.

Beliau berkata, sembilan individu dan 71 entiti , terdiri daripada 23 syarikat, 43 organisasi politik dan lima yayasan dan organisasi menerima wang melalui cek yang melibatkan akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka menerimanya dengan cek, dengan itu kami boleh mengesahkan jejak transaksi dan mengekorinya dengan keyakinan. Kami amat jelas dari mana datangnya wang itu,” katanya.

Latheefa berkata, SPRM telah menerima kebenaran untuk mengeluarkan kompaun itu daripada Peguam Negara.

Ditanya sama ada dua minggu mencukupi buat mereka, Latheefa berkata:” Mereka perlu memohon untuk melanjutkan masa jika tidak mencukupi.”

Ditanya sama ada perkara ini meletihkan, Latheefa berkata: “Tidak dan ada banyak lagi.”

Latheefa berkata, SPRM juga telah mengeluarkan (daripada senarai) mereka yang telah membayar untuk kebajikan sebenar dan mereka akan diuruskan kemudian.

Ditanya mengenai perbezaan antara notis kompaun dan pelucutan hak terhadap 41 penerima dan entiti yang difailkan dalam bulan Jun, Latheefa berkata pelucutan hak dikeluarkan apabila wang yang diterima masih berada dalam akaun mereka.

“Jadi kami perlu keluarkan arahan untuk membekukan akaun-akaun terbabit dan daripada situ, dalam tempoh 12 bulan kami mengambil keputusan untuk menyita wang berkenaan apabila mereka gagal menjelaskan dari mana mereka mendapat wang itu,” katanya .

“Bagaimanapun dalam kes tertentu, ia dibenarkan di bawah Seksyen 92, jika seseorang melakukan kesalahan serius di bawah AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram), kami sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengeluarkan notis kompaun terhadap mereka yang menerima wang berkenaan dan mereka diberikan tempoh tertentu, dari masa notis kompaun,” katanya.

Pada Jun lepas, SPRM memfailkan untuk melucutkan hak ke atas 41 penerima dan entiti untuk mendapatkan kembali RM270 juta berkaitan 1MDB yang datang daripada akaun bank peribadi Najib.

Individu-individu lain yang diserahkan notis kompaun termasuk Ahli Parlimen Pontian dan bekas timbalan menteri Datuk Ahmad Maslan; bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu, Tan Sri Fatmi Che Salleh dan Pengasas Titijaya Land Bhd, Tan Sri Lim Soon Peng.

Antara organisasi politik yang diserahkan notis kompaun adalah MIC, Parti Rakyat Sarawak, Gerakan Negeri Kedah, Badan Perhubungan MCA Selangor dan Kedah, Barisan Nasional (BN) Selangor, Wanita BN dan Puteri UMNO.

Latheefa berkata, MACC sedang berusaha mendapatkan kembali wang 1MDB menerusi kompaun itu.

“Wang itu kepunyaan rakyat Malaysia dan SPRM komited untuk mendapatkan kembali sebanyak mungkin wang iti daripada mereka ini,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :