BUDAYARENCANA

Lili

Oleh Haizir Othman

Jumaat lalu, Lili mati. Sejak lahir Disember lalu, dia tidak membesar seperti tiga ekor anak kucing lain yang dilahirkan Tam. Dia lebih kecil, lebih kurus daripada yang lain. Walau kadang kala dia tetap bermain, bergumpal dengan adik-beradiknya, dia sering kalah dibuli dan tertinggal dalam persaingan merebut puting susu ibunya sehingga perlu campur tangan kami untuk menyuakan mulutnya yang kecil ke perut Tam apabila yang lain-lain sudah selesai urusan mereka.

Saiznya yang ketara berbeza selain kedua-dua belah matanya berkurap menghantar kami ke klinik veterinar, memeriksa keadaan. Doktor memaklumkan perkara yang kami sudah tahu, bahawa dalam beberapa ekor anak kucing yang lahir, akan ada seekor tidak sihat seperti yang lain. Dan besar kebarangkalian pendek umurnya.

Walau bagaimanapun, kami tetap mendapatkan ubat mata dan susu untuk Lili – ikhtiar belum berakhir selagi nyawa masih ada. Lili kelihatan sedikit lebih sihat selepas itu. Kami memasukkannya ke dalam bakul, dan menyimpan dia di dalam rumah demi mengelakkannya diganggu kucing-kucing jantan yang liar berkeliaran di sekeliling taman perumahan.

Jumaat, 25 Januari adalah tarikh akhir kami bersama-sama Lili. Pulang kerja, isteriku menemui tubuh berbulu putihnya keras tergeletak di atas lantai dapur. Semut menghurungi kedua matanya yang berkurap. Isteriku membawa tubuh ringannya dengan penuh hati-hati ke depan rumah, apabila linangan air mata mula tumpah ke pipi. Sehingga aku kembali dari tempat kerja malam itu, jasad kaku Lili kekal menemani isteriku di ruang tamu yang telah bertukar gelap akibat dipenuhi pengap dan bau kematian dari kucing yang kami sayangi.

Roh Lili mungkin masih belum jauh meninggalkan tubuhnya sewaktu aku keluar ke depan rumah dengan sebilah cangkul di tangan, kerana kaki kurusnya kelihatan bergerak-gerak menampar angin. Seperti mahu memberitahu – dia tidak mahu dibawa keluar meninggalkan tempat bermainnya sejak beberapa minggu lalu.

Berbantukan cahaya bulan penuh pertengahan bulan Melayu yang tersangkut di pucuk dahan pokok mangga, aku membelah tanah keras dan berbatu di luar pagar, tempat Lili pernah berlari ke bawah kereta menyorokkan diri daripada tiga ekor adik-beradik yang sering mengejarnya; Kiki, Momo, dan Nana.

Agaknya seperti mataku, mata cangkul juga tumpul – tidak membantu kerjaku tengah-tengah malam itu menggali kubur Lili di atas tanah berselirat banir dari pokok mangga di sebelahnya. Keadaan ini ditambah badan letih yang dibawa dari tempat kerja, menghalang aku menggali dalam-dalam dan lebar-lebar lubang kubur Lili, cuma cukup sekadar muat-muat tubuh kecil si putih gebu yang telah dibalut sehelai kain batik lepas, basahan isteriku sebagai kain kafan buatnya.

Peluh membasahi tubuhku yang tidak berbaju seperti disimbah, titis-titisnya jatuh ke tubuh Lili yang telah dibungkus sebagai jenazah sewaktu aku perlahan-lahan menurunkannya ke liang lahad dengan penuh rasa hormat.

Sewaktu mengambus lubang kubur, aku berasa sedang mengambus kesepianku sendiri. Dalam-dalam. Secara literal. Aku berasa kehilangan apabila jasad Lili benar-benar hilang daripada pandangan mataku, tertanam beberapa kaki di bawah tanah.

Tanpa Lili, tidur kami lebih lewat malam itu walaupun masing-masing bungkam seribu bahasa – seperti banduan pada malam pertamanya di penjara. Tiada sepatah kata dapat memberi keadilan untuk menerangkan, apatah lagi mewajarkan pemergian Lili ke alam baqa’.

Keesokan malam, Lili memanjat keluar dari lubang kubur dalam rupa seorang perempuan cantik berkulit putih gebu dengan hanya bersarungkan kain batik lepas basahan isteriku – sebagai menutupi kemaluan bawah dan atasnya.

Anehnya, kurap di atas kelopak matanya telah tiada, entah kerana ubat titis dari klinik veterinar, atau secara magis disembuhkan Tuhan, digantikan dengan sepasang mata besar dan bersinar, berbiji bola guli hijau dan biru, permainan dia dan tiga ekor anak kucing lain saban waktu di laman rumah.

Lebih mencolok mata, bonggol di dada dan lengkuk punggungnya mengambil bentuk seorang perempuan dewasa walhal dia mati muda, malah bayi. Dari manakah datangnya segala keganjilan ini?

Aku sedang cuba memahami situasi ini perlahan-lahan ketika Lili mula merangkak ke atas katil seperti seekor kucing betina kami yang mati semalam. Kucing betina yang akan tidur dengan kami saban malam selepas menggesel-gesel ekor dan menjilat-jilat badannya sendiri.

“Meoww..,” ngiaunya. Mata biji gulinya galak memandang. Sebelah hijau. Sebelah biru.

Aku bangun pagi itu menuju ke pejabat dengan kepala berat, seperti tangki besar menampung air yang penuh. Sehingga tengah hari, Lili belum keluar dari kepalaku, mencakar-cakar dengan kukunya yang sudah tidak tajam lagi setelah bertukar manusia.

Lewat perbualan dengan Lai Ping di kafe, rakan sebelah mejaku itu berkata Lili telah mengalami kelahiran semula. Rohnya telah berpindah dari jasad kucing Lili kepada seorang wanita muda dalam proses transmigrasi mengikut ajaran Samsara.

Aku tidak mengimani reinkarnasi tetapi menurut kefahamanku proses itu hanya berlaku melibatkan permulaan hidup baru. Lili dalam bentuk manusia di rumahku adalah seorang gadis remaja, bukannya bayi baru lahir.

Tambah Lai Ping, roh Lili terikat kuat di bumi, tidak mahu pergi kerana kasih sayang yang kami berikan kepadanya setiap hari. Memikirkannya, aku teringat kaki kurus dari jasad matinya yang menampar angin sebelum dia kumasukkan ke lubang kubur dua malam lalu.

Tiba di rumah lewat malam itu, Lili kudapati berada di bilik air, di bawah sudut rak kecil tempat kami menyusun berus dan ubat gigi, sabun, pencuci muka dan lain-lain. Di sana juga ada syampu Pet Joy yang kami gunakan untuk membersih-bersihkan tubuhnya sebelum ini bersama rendaman air suam-suam kuku.

Kain batik lepas basahan kepunyaan isteriku yang membaluti tubuhnya sejak dua hari lalu kulihat elok tergantung di penyangkut tuala.

Aku memang sudah letih, tambahan baru balik kerja. Aku memang perlu mandi.


Pengarang :