TOKYO, 22 OKT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Naib Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pertemuan yang bermula pada jam 10 pagi waktu tempatan (kira-kira 9 pagi waktu Malaysia) berlangsung selama kira-kira 20 minit.
Seri Paduka dan Ma’ruf berada di sini bagi memenuhi undangan Kerajaan Jepun untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja ke-126 Jepun, Maharaja Naruhito yang akan berlangsung di Istana Imperial, tengah hari ini.
Turut menghadiri pertemuan itu ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan; Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Samsuddin; Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Jepun, Mohd Ishrin Mohd Ishak dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Datuk Rozainor Ramli.
Bagi pihak Indonesia, turut hadir ialah Menteri Luarnya, Retno Marsudi; Duta Besar ke Jepun, Arifin Tasrif; Kepala Sekretariat Wakil Presiden, Mohamad Oemar dan Direktor Timur Tengah Kementerian Luar, Achmad Rizal Purnama.
-BERNAMA