BERITA UTAMASELANGOR

MB: Ulama masa kini hadapi cabaran penciptaan ilmu, hasil penerbitan

SHAH ALAM, 22 OKT: Ulama masa kini bukan lagi mengangkat senjata seperti waktu zaman pra-kemerdekaan, sebaliknya berdepan cabaran dalam penciptaan ilmu dan penghasilan penerbitan yang terperinci, kata Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata, sumbangan besar dibawa ulama terhadap masyarakat juga bukan sekadar menadah kitab, malahan berperanan sebagai pemacu utama atau ‘game changer’ yang mengetuai gerakan kemerdekaan.

“Jika disorot semula sejarah, kita akan mendapati betapa iklim intelektual nusantara hangat dengan wacana ilmu, misalnya Syeikh Hamzah Al Fansuri dan Syeikh Nuruddin Al Raniri antara yang terawal.

“Ini disahkan Syeid Naquib Al-Attas dalam karya besar beliau iaitu Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu yang menunjukkan kepentingan tradisi teks dalam membugarkan pemikiran umat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2019 (PANTUMN2019) Ke-3 di Hotel Grand Blue Wave, di sini, hari ini.

Amirudin Shari (tengah) menerima cenderahati disampaikan Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri ketika Program Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2019 di Hotel Blue Waves, Shah Alam pada 22 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi; Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad dan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri.

Bercerita lanjut, Amirudin berkata, kedatangan ulama di Selangor lebih ketara bermula pada zaman Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor ke-3 iaitu Sultan Muhammad sekitar 1826 hingga 1857 Masihi (M) sebelum sekolah pondok dan institusi pendidikan moden diwujudkan.

Katanya, Sheikh Abdul Ghani Subuh dari Sumatera antara ulama yang terawal datang ke Selangor sebagai penasihat agama sekitar 1825M.

“Selangor adalah sebuah kerajaan yang lahir selepas kesultanan Melayu Melaka, kerajaan Pahang, Terengganu dan Kedah. Bermula dengan pembukaan sebuah penempatan di Jeram dan Langat, kemudiannya berkembang yang akhirnya seorang anak Bugis dilantik menjadi Sultan Selangor pertama.

“Kebiasaannya negeri jajahan akan mengikut agama anutan pemerintahnya, oleh itu masyarakat Melayu di Selangor ketika itu menganut agama Islam bermazhab Sunni aliran Syafie sebagaimana pemerintahnya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, perkembangan Islam di Selangor didokong kuat Sultan Selangor yang mencintai ilmu dan ulama.

“Sultan Alauddin Sulaiman Shah antara sultan yang terkenal dengan sifat warak dan menghormati ulama, pada zaman pemerintahannya, baginda melantik Tengku Mahmud Zuhdi Abdur Rahman al-Fatani sebagai syeikhul Islam.

“Baginda juga sering mendapatkan pandangan dan nasihat dari beliau khususnya berkaitan penyebaran dan pentadbiran agama di seluruh Selangor,” katanya.


Pengarang :