KUALA KUBU BHARU, 26 OKT: Kayuhan King Of Mountain Gen-S Hulu Selangor kembali dianjukan tahun ini selepas kali terakhir dilangsungkan 2017.
Disertai hampir 250 peserta, kayuhan sejauh 40 kilometer ini bermula di pekan Kuala Kubu Bharu ke Menara Jam Bukit Fraser.
Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan membabitkan Road Bike dan Mountain Bike serta tiga stesen air.
EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri memberikan sokongan kepada semua penganjuran sukan berbasikal dalam usaha memupuk budaya hidup sihat khususnya sempena program Bulan Sukan Negara.
“Kerajaan Negeri menyokong penuh penganjuran sukan berbasikal tambahan kita akan menganjurkan Tour de Selangor 2019 bermula Disember ini.
“Saya amat berbangga melihat kesungguhan dan semangat peserta pada pagi ini,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Khairuddin berkata, pertandingan ini juga turut mempromosikan daerah Hulu Selangor sebagai hab sukan lasak dan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Kayuhan anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Hulu Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM16,500.
Pada 2017, Kayuhan King Of Mountain Gen-S Hulu Selangor mencatatkan penyertaan tertinggi seramai 1,500 peserta membabitkan peserta tempatan dan antarabangsa.