AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tujuh buku teks agama JAIS dialih bahasa Cham dan Khmer

PHNOM PENH, 29 OKT: Sejumlah RM476,280 dibelanjakan bagi membiayai kos penterjemahan dan penerbitan tujuh buku teks Sekolah Agama Islam Selangor kepada Bahasa Cham dan Khmer.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan berkata, penerbitan 84,000 naskhah buku itu adalah sebahagian proses memindahkan sistem pendidikan Islam Selangor untuk diguna pakai di sekolah agama Kemboja.

“JAIS bersetuju memindahkan secara berperingkat sistem pendidikan Islam ke Kemboja dengan fasa pertama pelaksanaan projek melalui Pelan Strategik Projek Pembangunan Sistem Pendidikan Islam Kemboja 2013-2017 dan fasa kedua melalui pengukuhan Pelan Strategik 2018-2022.

“Dalam tempoh tujuh tahun pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya menghasilkan tujuh buku teks yang dialih bahasa ke Bahasa Cham dan Khmer, program latihan guru, membekal kemudahan peralatan sekolah dan panduan pengurusan pendidikan di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sekolah Rendah Agama Kemboja 2019 dan Pelancaran Buku Teks Sirah Sumbangan PKNS di Masjid Ammar bin Yasir, KM9, Crang Comreh di sini kelmarin.

Salwana berkata, kos penerbitan buku teks itu diperolehi daripada sumbangan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya, JAIS turut membantu pelaksanaan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama Kemboja buat kali pertama membabitkan 268 murid dari 12 sekolah rendah agama.

Salwana berkata, peperiksaan kali ini membabitkan Akhlak, Bahasa Arab, Tauhid, Tajwid, Tilawah dan Hafazan.

Katanya, seramai enam pegawai JAIS bersama 25 guru Kemboja terlibat menyediakan soalan dan pemeriksaan kertas jawapan.


Pengarang :