BUDAYARENCANA

Kerusifiksyen: Tentang mengarang cereka di atas kerusi

Oleh Azrin Fauzi

 ____________________________________________________________________________________________________ …kerana satu daripada empat kaki kerusinya tidak sama panjang, seorang pemuda masih belum menemui kata-kata yang tepat untuk ayat pertama pengenalan sebuah cereka yang ingin dikarang. Dia memulakan ceritanya dengan ayat kedua, diikuti ayat ketiga, keempat, dan seterusnya tanpa mengetahui pucuk pangkal yang enggan menumbuhkan kata-kata yang tepat untuk ayat pertama tadi. Hanya pada ayat ini barulah dia menyedari: kerusi berkaki tempang itulah yang selama ini menendang segala ilhamnya dengan hentakan yang menjengkelkan. Hiperbola pun bergolek ke kakinya: “Setelah 10,000 tahun, si pemuda masih belum menemui kata-kata yang tepat untuk ayat pertama pengenalan sebuah cereka yang ingin dikarang.” Lama dia termangu di atas kerusi itu – selama 10,000 tahun. Sehingga “si pemuda” pun menjadi “si tua”. Si tua ingin pula menuliskan cerita yang menempatkan sebuah kerusi di salah satu penjuru naratifnya – juga tanpa ayat pertama.

Yang Memainkan | 1. Si pemuda yang ingin mengarang sebuah cereka tetapi masih belum menemui kata-kata yang tepat untuk ayat pertama pengenalannya. Kerana ingin terus menulis, dia memulakan ceritanya dengan ayat kedua. Pernah dia terbaca pengakuan cerpenis Othman Puteh: “Saya, secara peribadi, hingga kini pun masih menghadapi masalah memulakan cerita, masalah menyusun ayat pertama yang baik, menarik dan berkesan.” Barangkali sebab itulah si pemuda membuka cerekanya dengan ayat kedua. Segala-galanya angkara sebuah kerusi. 2. Kerusi yang cuba berdiri betul dengan empat kaki. Tetapi menyenget dek salah satu kakinya yang pendek; melantunkan kejengkelan tatkala terhentak. Cukuplah kerusi ini menjadi kerusi kayu biasa lagi sederhana tetapi mewah jiwanya. Kata arkitek Le Corbusier, “Kerusi ialah seni bina, sofa ialah borjuis.” Sesekali kerusi ini dilepasbebaskan untuk berjengket-jengket sehingga ligat berlari dengan empat batang kakinya itu di atas lapangan fikiran si pemuda. Sebelum dipanggil pulang untuk si pemuda kembali duduk di atasnya – sehingga tua. 3. Si tua yang ingin mengarang sebuah cereka dengan sebuah kerusi diletakkan di salah satu sudut ceritanya. Tetapi pada baris ini, bukankah cerekanya sudah sarat diselerakkan dengan kerusi? Dengan apologi buat Pina Bausch di mana kerusi yang diselerakkan dalam Café Müller (1978) ditarik menjauhi gerak tarinya; dalam Kafe Kepala milik si tua, kerusi-kerusi ini melangkahlari daripada diduduki olehnya. Benarlah gerak-geri kerusi tidak lagi boleh dibaca. 4. Pembaca.

Yang Menempatkan | Di mana-mana: Di dalam mahupun di luar. Jika di dalam atau di luar itu cereka, adakah di dalam dan di luar anticereka?

Yang Mewaktukan | Sepanjang masa, selagi kita masih memerlukan cerita (dengan kerusi-kerusi di dalamnya): 1. Kerusi terlupa sama ada si pemuda ataupun si tua yang menuliskan: “Ada mata yang mengintai dari balik pohon tua tatkala si tempang tersesat ke dalam syurga. Kerana keletihan – setelah dilelahkan 10,000 tahun perjalanan – sebuah kerusi yang ditukangi daripada sepohon tua itu diam-diam diberi kepadanya. Si tempang duduk di dalam syurga yang sunyi untuk 10,000 tahun lagi. 2. Ingatan kelmarin berbau kerosin masih bertiup dari sebuah galeri. Di atas kerusi, seorang artis membakar diri. Sehingga hangit daging mula menyumbat hidung, barulah kusedari kerusi yang bukan lagi berupa kerusi itu ialah Poäng. Aku tidak berminat untuk menceritakan bagaimana kerusi itu direka oleh seorang pemuda Jepun – barangkali dipercik ilham daripada kerusi tangan rekaan arkitek Alvar Aalto – tetapi sekadar ingin menyatakan, kerusi Poäng itu asalnya diberi nama “Poem”. Dia, yang membakar diri di atas “Puisi” untuk membangkitkan… seni? 3. Van Gogh yang paling awal meletakkan paip dan tembakaunya di atas kerusi (Van Gogh’s Chair, 1888); Matisse pula meletakkan sepinggan pic di atas kerusi (Chair with Peaches, 1919); Duchamp memutarkan peranan kerusi ini dengan Bicycle Wheel (1913) ciptaannya; segala-galanya sebelum sunyi galeri dipecahkan lagi oleh One and Three Chairs (1965) dan A Matter of Time (1977) dan dan dan… 4. Aku dan mereka berdiri sewaktu sembah seni berlanjutan di penghujung pementasan. Yang masih terngiang-ngiang daripada performans tadi bilamana watak bernama Serigala – atau Srisegala? – mengingatkan: “… Kelak nanti sampai masamu untuk bercinta kasih sayang, cinta kasih dan sayanglah pada sebuah kerusi… Tempat dudukmu itulah yang paling bererti.” Akan aku terus berdiri – untuk mereka duduk kembali.

Yang Menjungkirbalikkan | Ada kerusi yang dicipta di dalam cereka, ada cereka yang tercipta di atas kerusi.

Yang Menamatkan | Ada penamat yang menamatkan sebuah cereka, ada penamat yang memulakan cereka-cereka lainnya: 1. Deus ex machina: Antara si pemuda, kerusi, si tua, dan pembaca, siapakah antagonis yang akan tewas dipanah petir? 2. Penamat tak terjangka: Setelah 10,000 tahun berdiri, kerusi mematahkan sebatang kaki sebagai tongkat buat si tempang. Si tempang berlalu pergi dan kerusi yang kepenatan langsung duduk bersila dengan tiga kaki – untuk 10,000 tahun lagi. 3. Keadilan puitis: Si tua tiba untuk menukangi dan mengganti kaki kerusi yang kudung itu. Setelah selesai, si tua menyedari satu daripada empat kaki kerusi itu tidak sama panjang. Lantas meminta kerusi berkaki empat mencari si pemuda. 4. Tanda tanya atau terbuka: “Kerusifixion! Kerusifixion!” Benarlah idea tentang sebuah kerusi telah disalib di tengah-tengah lapangan fikirku. Sebelum diangkat dan dilenyapkan. Sebelum diturunkan semula ketika kata-kata menghuru-hara – menjadi dosa. Jika begitu, adakah kata-kata yang tepat untuk ayat pertama pengenalan sebuah cereka yang ingin kukarang ini – kalau pun sudah dijumpai – menjadi rahsia sendiri? 5. Tragedi: Di dalam, tergeletak mayat si tua di hadapan bebayang bernama I. Dengan mata yang menyimpan dosa dan rahsia, I. bertanya kepada kerusi yang terduduk ketakutan, “Inginkah engkau direputmati lalu ditumbuhkan kembali menjadi Pohon Pengetahuan?” Kerusi masih mendiam. Dan akan terus mendiam. Di luar sana pun terdiam. Hening. Bilakah akan ditiup sangkakala kedua? Sedangkan waktu telah pun berkecai dengan angka-angkanya – hanya 0 yang tersisa. 6. Penamat bahagia: Si pemuda, kerusi, dan si tua akhirnya menemukan kata-kata yang tepat untuk ayat pertama pengenalan sebuah cereka. Kerana terlalu bahagia, mereka terlupa memberitahu pembaca.


Pengarang :