Amirudin Shari semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2020 di Dewan Negeri Selangor pada 1 November 2019. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Netizen terima baik Belanjawan #Selangor2020

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 2 NOV: Pengguna media sosial Facebook dan Twitter menyambut baik pengumuman Belanjawan #Selangor 2020 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari semalam.

Rata-rata, netizen menyifatkan pengumuman belanjawan kali ini lebih banyak memberi tumpuan kepada agenda pembangunan masyarakat.

Seorang pengguna Facebook, Khairuz Zaman memuji pembentangan belanjawan yang menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat di bawah Pakatan Harapan.

“Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Menteri Besar Selangor atas penambahbaikan dalam pembangunan masyarakat di Selangor,” katanya.

Seorang netizen di Twitter, Eman Halia pula berkata, diharap dengan peruntukan untuk menaik taraf sistem saliran akan dapat mengatasi masalah banjir kilat di negeri ini.

“Selain itu, untuk peruntukan rumah idaman ia diharap dapat dilaksanakan secara menyeluruh di negeri ini dengan mengutamakan kawasan yang memerlukan,” katanya.

“Bagus juga Bajet Selangor pada kali ini, siap ada Smart Selangor parking, nak bayar parking dah tak perlu gunakan token, akses di aplikasi sahaja,” tulis Dik Bitt di akaun Twitternya.

“Alhamdulilah, terima kasih aras peruntukan Kerajaan Negeri untuk dana yang diberikan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), diharap banyak jalan yang berlubang dapat diturap semula,” tulis Roy Kage juga di Twitter.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan anggaran perbelanjaan RM2.33 bilion dalam Belanjawan #Selangor 2020, RM1.13 bilion atau 48.56 peratus diperuntukkan untuk Belanja Pembangunan manakala RM1.20 bilion atau 51.44 peratus bagi Belanja Mengurus.


Pengarang :