Rodziah Ismail (tengah) bergambar bersama peserta selepas Majlis Penyampaian Peralatan Program SITHAM di Bangunan SUK, Shah Alam pada 13 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

SITHAM terima 2,142 permohonan, empat bidang jadi pilihan

SHAH ALAM, 13 DIS: Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) menerima 2,142 permohonan daripada masyarakat India seluruh negeri sejak dimulakan pada September lalu.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, menerusi permohonan itu bidang fotografi, jahitan, kimpalan dan gunting rambut menjadi pilihan kaum India untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Menerusi empat bidang berkenaan, sebanyak 40 peserta melalui sesi bimbingan selama tiga bulan dengan empat syarikat dipilih Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri menerusi Hijrah Selangor yakin dengan bimbingan diberikan, peserta akan mampu untuk terus bekerja dengan syarikat bimbingan atau memulakan perniagaan sendiri.

“Pada saya, dalam bidang perniagaan kita memerlukan bimbingan dan kita juga bukan sekadar memberikan latihan tetapi peralatan untuk terus praktikkan,” katanya.

Rodziah Ismail menyerahkan peralatan kepada peserta ketika Majlis Penyampaian Peralatan Program SITHAM di Bangunan SUK, Shah Alam pada 13 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Peralatan Program SITHAM (GROW) di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Katanya, program ini turut menarik perhatian Kerajaan Persekutuan termasuk cara Selangor melakukan pemilihan peserta supaya individu yang layak memperoleh manfaat program ini.

Rodziah berkata, Kerajaan Negeri turut mengajak lebih banyak syarikat untuk bekerjasama dan berkongsi pengalaman kepada golongan yang baru menceburi bidang perniagaan.

“Terima kasih kepada Komuniti Kaum India (KKI) kerana melakukan tugas dengan mantap bertemu dan memantau perkembangan peserta.

“Justeru, kaum India diharap tidak ketinggalan dalam saingan kompetitif masa kini, sekali gus mampu meningkatkan taraf mereka daripada usahawan mikro ke pembangunan keusahwanan sederhana (PKS),” katanya.


Pengarang :