Grafiti tulisan cahaya ‘2020’ dengan berlatar belakang Menara Teruntum di Kuantan sempena sambutan Tahun Baharu. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tun M ajak rakyat sama-sama majukan negara

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Dalam negara melangkah ke tahun baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak seluruh rakyat mengambil langkah untuk memajukan diri, selari dengan usaha kerajaan memajukan negara.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2020, Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia tidak dapat mencapai sasaran negara maju sepenuhnya, namun ada beberapa elemen negara maju yang boleh dilakukan.

Beliau menggariskan nilai-nilai itu seperti sifat rajin, berdisiplin, menjaga kebersihan, bersifat tolak-ansur, hormat-menghormati, berbudi bahasa dan berjiwa besar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA

“Ini adalah ciri-ciri yang membezakan kita daripada mereka yang tidak maju dan mundur.

“Sifat-sifat mulia ini mewakili kesemua budaya, agama dan bangsa serta kepelbagaian Malaysia, seharusnya membuat kita lebih peka kepada nilai-nilai ini,” katanya.

Dr Mahathir seterusnya berkata, tahun 2020 agak signifikan di hatinya.

“Semasa saya menerajui pentadbiran Malaysia pada kali pertama, kerajaan menerusi Wawasan 2020 ketika itu telah menyasarkan tahun ini sebagai tahun bagi negara kita mencapai taraf negara maju.

“Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sedar bahawa sasaran itu tidak dapat kita capai sepenuhnya dan kerana itu kita telah menyediakan blueprint baharu yang kita kenali sebagai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Dalam kata lain, menurut Dr Mahathir, sasaran mencapai status negara maju itu dilanjutkan ke 2030 dan kerajaan percaya objektif itu dapat dicapai.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan sentiasa berusaha untuk memaju dan memakmurkan negara, kerana ia adalah amanah yang diserah kepada pentadbiran sekarang apabila menerima tanggungjawab menjadi kerajaan.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh bersikap berserah kepada keadaan semasa tanpa memikir strategi dan perencanaan yang difikir sesuai untuk memaju dan memakmurkan negara.

“Secara ringkas, kita perlu berusaha dan tidak bergantung kepada takdir untuk memajukan diri kita,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa terjerat dalam polemik politik tidak akan memajukan rakyat dan negara.

“Ketika masih ada dalam kalangan rakyat kita yang terperangkap dengan polemik politik yang tidak akan memajukan diri, keadaan di luar tidak menjanjikan kita satu perjalanan yang mudah,” katanya.

Beliau menarik perhatian kepada perang perdagangan antara kuasa besar, dan kemajuan teknologi yang begitu mendadak, yang menurutnya, adalah faktor yang akan melakar hala tuju dunia dan negara.

“Kita perlu menerima keadaan ini dan berusaha memajukan diri untuk menangani perubahan dan cabaran ini,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata, kemajuan teknologi digital telah mengubah cara perniagaan dan perkhidmatan dijalankan.

“Mereka yang memahami perubahan ini telah mencari peluang untuk kerja dan pendapatan. Yang tidak berubah telah kehilangan punca kehidupan,” katanya.

Kerajaan katanya, akan terus membantu rakyat untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu itu menerusi program yang telah disediakan dan akan diperkenalkan.

Harapan kerajaan ialah rakyat akan mengambil peluang itu dan bersama-sama dengan kerajaan untuk memajukan diri mereka, kata Dr Mahathir, sambil menambah apabila mereka berjaya, kerajaan dan negara turut menumpang kejayaan itu.

Dr Mahathir seterusnya menyifatkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 baru-baru ini dengan Malaysia menjadi tuan rumah, sebagai peluang untuk meneroka bidang-bidang baharu yang kritikal dan perlu, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga rakyat Malaysia keseluruhannya.

Menurutnya, sidang kemuncak itu juga merupakan peluang Malaysia memperlihatkan kepada negara Islam yang lain bagaimana rakyat negara ini berupaya hidup bersama dengan penganut agama lain tanpa konflik dan pergeseran yang terlampau.

“Tidak pernah terlintas di pemikiran kita untuk memperkenalkan undang-undang mengasing rakyat atau pendatang berasaskan agama atau bangsa.

“Walaupun kita mempunyai beberapa peruntukan untuk kaum bumiputera, ia untuk memastikan kelangsungan mereka dan bukan bersifat menidak dan mengambil hak rakyat yang lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kekayaan negara tidak dipegang oleh bumiputera semata-mata, malahan dikongsi, dan dalam banyak keadaan dipegang oleh kaum yang lain.

“Sesebuah negara boleh mengatasi cabaran apabila rakyat berusaha membina kekuatan bangsa menerusi kerajinan serta kegigihan mempelajari ilmu serta membina pengetahuan yang tinggi,” katanya.

“Pengetahuan yang tinggi dapat kita gunakan untuk membina kekuatan negara dalam pelbagai bidang,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :