Datuk Seri Mohd Zuki Ali
AGENDANASIONAL

Mohd Zuki dilantik sebagai KSN baharu

PUTRAJAYA, 31 DIS: Datuk Seri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkuat kuasa 1 Januari 2020, demikian menurut Pejabat Perdana Menteri.

Mohd Zuki, 58, menggantikan Tan Sri Dr Ismail Bakar yang bercuti sebelum persaraan wajib.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas perakuan Perdana Menteri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Mohd Zuki yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun.

Sebelum pelantikan terkini, Mohd Zuki ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak.

“Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ismail atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara,” menurut Pejabat Perdana Menteri.

– BERNAMA


Pengarang :