AGENDANASIONAL

Jangan ugut, wartawan hanya lapor maklumat – Gobind

SHAH ALAM, 3 JAN: Masyarakat diingatkan supaya tidak mengugut, menggunakan kekerasan atau bertindak di luar batasan undang-undang ke atas pengamal media ekoran laporan sesuatu berita.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, terdapat cara untuk memperbetulkan atau mengemukakan pandangan berbeza kerana tugas wartawan adalah melaporkan maklumat kepada masyarakat.

“Kalau tak setuju dengan laporan itu, ada cara untuk memperbetulkan ataupun mengemukakan pandangan berbeza. Tidak perlu ugutan, gunakan kekerasan ataupun bertindak di luar batasan undang-undang.

“Saya harap pihak polis akan siasat dan ambil tindakan tegas sekiranya didapati berlaku sebarang kesalahan,” katanya di laman Facebook hari ini.

Gobind mengulas demikian susulan isu seorang wartawan penyiaran yang diugut bunuh selepas melaporkan mengenai Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam, Terengganu yang dikatakan beroperasi tanpa kemudahan elektrik dan bekalan air.

Berikutan itu, wartawan berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi menjamin keselamatan diri serta keluarganya.


Pengarang :