AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Arab Saudi tidak eksport, air zam zam dikhuatiri tiruan

SHAH ALAM, 6 JAN: Penjualan air zam zam di pasaran tempatan dikhuatiri produk tiruan kerana Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengesahkan negaranya tidak pernah mengeksportnya ke luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedutaan Arab Saudi pada 2011 dan 2015 mengesahkan tiada pengedar atau syarikat mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.

“Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” jelas kenyataan KKM hari ini.

Justeru, katanya, penjualan air zam zam di pasaran tempatan seperti dilaporkan dikhuatiri produk tiruan.

Katanya, hasil penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), sejumlah RM77,358.30 air yang dilabel sebagai air zam zam dirampas sejak 2012 sehingga kini.

Mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat penjualan air yang dilabel sebagai air zam zam di pasaran kepada KMM.

Secara lazimnya, hanya jemaah haji dan umrah menerima air zam zam secara percuma ketika mereka berada di negara itu.


Pengarang :