ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

IWB tekad perkasa kumpulan wanita minoriti

SHAH ALAM, 7 JAN: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor mahu kumpulan wanita minoriti dimartabat serta diperkasakan menerusi Program Jaringan Muafakat sepanjang tahun ini, kata pengerusinya, Juwairiya Zulkifli.

Katanya, program berkenaan memfokuskan golongan terbabit khususnya di kawasan luar bandar termasuk kaum India di estet, wanita FELDA dan juga Orang Asli.

“Kerajaan Negeri menerusi IWB mahu kumpulan minoriti yang kurang terdedah dengan dunia luar mendapat maklumat sewajarnya dengan diberi pendidikan sivik iaitu antaranya undang-undang gangguan seksual, keganasan rumah tangga, perlindungan kanak-kanak serta kaedah mengurus kewangan rumah tangga.

 

“Matlamat kami ialah kesemua golongan wanita di negeri ini mendapat ilmu dan peluang sama rata tidak kira mereka menetap di pedalaman mahupun bandar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Juwairiya berkata, sebanyak 69 sesi latihan sudah dilaksanakan menerusi program terbabit dan menerima 601 penyertaan.

Katanya, program terbaharu IWB akan diadakan di Dewan Komuniti Dagang Jaya di Ampang Jaya pada 11 Januari ini bermula jam 8 pagi hingga 3.30 petang.

“Kesemua peserta ini berjaya dihimpunkan menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri dan juga parlimen di setiap kawasan seluruh Selangor,” katanya.


Pengarang :