AGENSISELANGOR

Budak perempuan ditemui orang awam sudah dituntut penjaga

SHAH ALAM, 11 JAN: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dijumpai orang awam di Jalan Taman Megah 2A, Kajang diserahkan kepada ibu bapanya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata ibunya yang berusia 35 tahun menghubungi polis selepas berita itu tular di media sosial.

“Hasil keterangan, kanak-kanak perempuan itu dipercayai keluar sendirian untuk bermain di luar rumah melalui pintu hadapan yang tidak dikunci.

“Dia diserahkan semula kepada ibu bapa kandungnya dan dibawa pulang dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir turut berterima kasih kepada media dan orang ramai yang membantu menyebarkan berita kehilangan kanak-kanak itu sehingga diserahkan semula kepada keluarganya.

SelangorKini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan ditemui bersendirian dalam keadaan ketakutan dan menangis di Taman Megah, Batu 9, Cheras, semalam.

Kanak-kanak memakai baju-T berwarna hitam dengan tulisan ‘Puma’ serta berseluar panjang warna hitam ditemui pada 2 petang oleh seorang warga emas berusia 70 tahun.

 


Pengarang :