AGENDANASIONAL

Polis belajar bahasa Inggeris mudah bantu pelancong

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020), pegawai dan anggota polis yang bertugas di lokasi tumpuan pelancong akan dihantar mengikuti kelas bahasa Inggeris supaya mereka dapat menyampaikan layanan mesra dan baik.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata beberapa perbincangan diadakan untuk mengadakan kelas intensif bagi meningkatkan penguasaan bahasa kepada anggota polis terlibat.

“Pelancong biasanya akan bertanya kepada polis, justeru dengan adanya kelas bahasa Inggeris ini akan membantu anggota menerangkan mengenai Malaysia dan membantu pelancong sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Keselamatan dan Mencegah Jenayah Sempena ‘Kempen Kita’ di Perumahan Awam Seri Perak, Sentul di sini.

“Selain itu, saya mahu lihat mereka (pelancong) merasakan diri mereka disambut baik di negara ini, malah Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Peronda Polis (MPV) juga diperluaskan untuk menjaga keselamatan pelancong,” katanya.

Mazlan berkata pihaknya juga menempatkan detektif di lokasi kerap berlaku jenayah jalanan dengan bilik gerakan khas diwujudkan untuk memantau keselamatan pelancong.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen berkenaan Mazlan berkata ia diadakan untuk memberi kesedaran dan membantu mereka dalam kes jenayah serta dadah.

“Pada tahun ini, kami lebih kepada strategi turun padang pergi ke 63 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

“Kes lain-lain jenayah dan dadah jika tidak dibendung akan menjadi masalah kepada masyarakat dan polis berharap dengan adanya kempen ini dapat membantu mereka berasa selamat dan selesa tinggal di PPR,” katanya.

Selain itu, diminta mengulas mengenai kes kecurian motosikal di PPR, Mazlan berkata isu berkenaan antara yang banyak berlaku di kawasan perumahan itu disebabkan ada pemilik motosikal yang tertinggal kunci serta tidak mengunci motosikal dan lain-lain.

“Pada tahun lalu, lebih 1,700 kes kecurian motosikal dilaporkan di Kuala Lumpur,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :