Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rina: Henti fitnah Mara sekat bantuan usahawan luar bandar

PORT DICKSON, 12 JAN: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini menafikan dakwaan kononnya Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menghentikan bantuan kepada usahawan luar bandar.

Beliau sebaliknya berkata, MARA akan terus mengadakan pelbagai program dalam usaha membantu sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar.

“Kalau ada yang kata kita hentikan bantuan kepada usahawan luar bandar, saya minta hentikan fitnah-fitnah ini.

“Saya lagi mahu lahirkan lebih ramai jutawan, usahawan Mara dan Mara akan terus buat program lebih banyak untuk bantu usahawan-usahawan… yang penting Mara sebagai satu institusi, membantu masyarakat luar bandar, akan meneruskan usaha baik dari segi pendidikan mahupun keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Bersama Masyarakat DUN Bagan Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya Mara akan menghentikan bantuan kepada usahawan luar bandar.

Dakwaan itu timbul selepas Pengerusi Mara, Dr Hasnita Hashim membuat kenyataan bahawa Mara telah menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baharu, kecuali dalam bidang pendidikan pada Disember tahun lepas.

Mengulas lanjut, Rina berkata kenyataan itu mungkin telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak, sehingga menimbulkan kekeliruan.

Sehubungan itu, Rina berkata pihaknya akan membuat satu sidang media khas dalam masa terdekat untuk menjelaskan perkara itu.

“Kita tidak mahu timbul masalah ada yang menagguk di air keruh atau mungkin penyampaiannya tidak sampai dan sebagainya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :