Orang ramai yang menyertai Larian Ulang Tahun Ketiga Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan di Seksyen 14, Shah Alam pada 12 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan pupuk gaya hidup sihat

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) komited untuk terus melaksanakan Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan pada tahun ini bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida oleh kenderaan.

Datuk Bandarnya berkata, program yang diadakan pada Ahad minggu kedua setiap bulan itu bakal menonjolkan pelbagai kelainan mengikut tema yang ditetapkan.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI

“Ini selaras dengan hala tuju MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Malah, program ini akan sentiasa ditambah baik pada setiap bulan dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik khusus buat penduduk Shah Alam,” kata Dato’ Haris Kasim ketika ditemui di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14 di sini hari ini.

Antara aktiviti menarik yang diadakan seawal jam 7 hingga 11 pagi hari ini ialah Larian Ulang Tahun Ketiga Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, acara berbasikal, senamrobik dan cabaran mendaki dinding.

Selain itu, program Eco Free Market bertemakan kitar semula iaitu satu acara penyaluran dan agihan semula barangan terpakai turut diadakan.

Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels dan Perpustakaan Bergerak juga disediakan untuk orang awam mendapatkan maklumat yang mereka perlukan.


Pengarang :