DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari serta tetamu jemputan menggaul Yee Sang pada Majlis Rumah Terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Selangor di Dataran Petaling Jaya pada 1 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Majlis Tahun Baharu Cina bukti keharmonian Selangor

PETALING JAYA, 2 FEB: Majlis Rumah Terbuka sempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Selangor  bukti kepada keharmonian masyarakat di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata, sambutan penuh bermakna itu selaras dengan konsep Selangor Maju Bersama yang selama ini diwarnai kehidupan berbilang kaum dan menjadi warisan negara.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Rumah Terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Negeri Selangor  di Dataran Petaling Jaya, 1 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sambutan Tahun Baharu Cina memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan silaturahim antara rakan dan keluarga. Kehidupan berbilang kaum dan agama telah menjadi sebahagian daripada warisan sejarah hidup rakyat di negara ini.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran pernah dilalui namun majoriti rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa perpaduan adalah aset penting yang perlu dipelihara dan sentiasa dipupuk dalam kalangan kita.

“Sambutan perayaan ini juga selaras dengan konsep Selangor Maju Bersama di mana Kerajaan Negeri melalui pelbagai program dan inisiatif dapat turut sama memberikan manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Berucap di Dataran Petaling Jaya malam tadi, beliau berkata Belanjawan Selangor 2020 merupakan langkah komprehensif Kerajaan Negeri bagi merealisasikan impian Selangor menjadi sebuah negeri pintar menjelang tahun 2025 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan hadir ke majlis tersebut.

Amirudin berkata, kejayaan pentadbiran sejak 2008 turut menjadi inspirasi belanjawan yang bertujuan menyempurnakan hasrat rakyat dan harapan reformasi supaya Selangor terus kekal menjadi nadi pembangunan negara.

“Secara keseluruhannya, Belanjawan Selangor 2020 akan mencapai keseimbangan antara usaha ke arah negeri pintar serta kemampanan pembangunan sosial yang berteras keadilan serta reformasi.

“Peruntukan yang disediakan adalah bagi memacu pembangunan ekonomi Selangor agar terus menjadi sebuah negeri maju yang sesuai untuk didiami,” katanya.


Pengarang :