Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lima lagi individu sah dijangkiti Covid-19

PUTRAJAYA, 5 MAC: Lima lagi individu disahkan positif Covid-19 dengan kesemua mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan kes ke-26, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dengan pengesahan lima kes baharu itu, jumlah kumulatif positif Covid-19 di negara ini sehingga hari ini meningkat kepada 55 kes.

Daripada jumlah 55 kes berkenaan, 22 daripadanya sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad.

“Kesemua kes baharu ini berhubung kait dengan satu kluster Covid-19 yang telah dikenal pasti sebelum ini yang melibatkan kes positif ke-26. Kes-kes ini merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dalam kluster tersebut.

“Justeru, sehingga kini, jumlah kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 26 kes. Siasatan dan pengesahan kontak bagi kluster tersebut masih diteruskan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (Covid-19) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Noor Hisham berkata jumlah kontak rapat bagi kes ke-26 setakat ini ialah 258 di mana 18 kes adalah positif (generasi pertama), 19 negatif dan 211 masih menunggu keputusan ujian saringan.

– BERNAMA


Pengarang :