AGENSISELANGOR

Lelaki Bangladesh ditahan cuba rasuah polis RM5,000

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Gara-gara ingin membebaskan rakannya yang ditahankerana memiliki rokok seludup, seorang lelaki warga Bangladesh ditahan, kerana disyaki cuba merasuah seorang anggota polis dengan wang RM5,000.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintedan Arsad Kamaruddin berkata lelaki berusia 32 tahun itu, ditahan pada 10.24 malam semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, ketika cuba merasuah anggota polis berkenaan di balai tersebut.

Katanya, suspek telah datang ke IPD berkenaan untuk berbincang mengenai penahanan rakannya itu, sebelum cuba merasuah anggota polis yang sedang bertugas, dengan mengeluarkan sejumlah wang.

Anggota polis tersebut kemudian memberikan amaran bahawa dia boleh ditangkap atas perbuatan cuba merasuah pihak berkuasa, namun amaran itu tidak diendahkan lelaki Bangladesh itu.

“Pengadu (anggota polis) telah memberi amaran lagi mengenai kesalahan memberi rasuah dan kemudian terus merampas wang tunai RM5,000 serta tangkap suspek,” katanya hari ini.

Arsad berkata pihaknya turut merampas wang tunai berkenaan manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 21(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

– BERNAMA


Pengarang :